MENCARI GELIGA DALAM GELITA SIRI 4
Bahagian
4
Esok, akan bermula satu jalur baru dalam sejarah bangsa Malaysia. Di
waktu yang sama sejarah tamadun Bangsa Melayu pun akan terukir jua. Kali ini, ukiran
sejarah bangsa dan negara itu akan diukir secara berkumpulan oleh manusia daripada
berbilang bangsa, agama, fahaman politiknya. Jalur sejarah bangsa Malaysia dan jalur
tamaddun bangsa Melayu itu akan dianyam secara bertimbal mengikut rentak juang dan getaran
semangat manusia yang keluar bersatu. Akan berpadulah nanti pengamal asas budaya
yang pada asalnya berbeza-beza tetapi kini semakin ketara akan sebatiannya. Ya..... esok
yang disebut sebagai 'The Black 14' akan mengukir sejarah. Pengendali Laman Web 'Fitnah
e-Umno telah melakarkan hari bersejarah ini dengan menamakannya 'Gelita 14', secara tidak
banyak disedari umum GELITA dirujukkannya kepada akronim Gerakan Liberalisasi Tanah Air.
Satu cantuman kata-kata yang amat bermakna, seperti amat bermaknanya gabungan semangat
semua rakyat marhaen yang cintakan negaranya.
Apa juga yang akan berlaku esok,
samada hari itu akan bergegar atau pun bergetar, samada gegaran itu datang dari langit
ataupun dari dada insan-insan yang cintakan kebenaran, esok akan membawa seribu makna.
Akan terbukalah nanti satu kotak pandora yang sekian lama merupakan satu kotak keramat
dalam kepimpinan seorang insan bernama Mahathir bin Mohamad. Biarlah kita rakamkan
peristiwa esok hari itu dengan membawa seribu kenangan kepada masa silam yang menyebabkan
kenapa esok hari dianggap sebagai hari rakyat mengingati kezaliman pemerintahan beliau.
April
14 Dalam KENANGAN
Hanya satu tahun yang lalu Anwar Ibrahim telah dimasukkan
secara rasminya sebagai banduan di atas tuduhan pelbagai yang buktinya masih lagi samar
dan masih dipertikaikan. Malahan kalau mengikut hukum Islam yang merupakan agama rasmi
negara ini, Anwar Ibrahim tidak ada sebab mesti berada di penjara itu. Malangnya beliau
menerima 'hukuman' itu disebabkan sistem kehakiman negara yang telah diperkosa oleh
seorang pemimpin unggul satu parti politik Melayu dari mana Anwar Ibrahim pernah
menjadi pemimpin nombor dua.
Ketika Anwar dijatuhkan hukuman, seluruh dunia
merasa terkejut secara tafsiran akal biasa. Tetapi, kepada sesiapa yang sudah mengikuti
perjalanan pemerintahan negara Malaysia sejak dua puluh tahun yang lalu, hukuman yang
dikenakan ke atas Anwar (yang lebih terkenal dengan panggilan DSAI -satu singkatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah satu keputusan yang hanya menaikkan bulu kening
untuk seketika sahaja. Demikianlah perjalanan pemerintahan Malaysia masa kini yang banyak
berpaksikan tindak-tanduk seorang diktator tua yang sudah lali dengan suara gelombang
manusia bawahan yang mahukannya mengundurkan diri dan bersara.
Satu tahun yang lalu
majalah DETIk keluaran 1 April 1999, boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk
merasakan getaran jiwa rakyat marhaen akan keadaan orang Melayu ketika itu dalam
menghadapi dilemma Anwar Ibrahim. Esok, rakyat marhaen akan bergerak daripada ceruk rantau
negara untuk menuju ibukota Kuala Lumpur. Mungkin mereka boleh diingatkan sedikit
ungkapan kata-kata Anwar yang pernah dirakamkan di majalah DETIK di muka surat 62:
.....
"Pengalaman saya ketika berada di kem tahanan pada tahun 1974 telah mengajar saya
bahawa adalah tidak dapat diterima sama sekali untuk terus hidup sebagai seorang pengikut
yang tunduk dan pada masa yang sama terpaksa pula memerangi rasuah dan penindasan.
Alternatifnya, untuk meneruskan agenda reformasi sebagai seorang pengkritik yang berwibawa
sudah tentulah cukup mencabar dan dipenuhi dengan pelbagai onak dan ranjau berduri.
"Namun
demikian, di luar ramalan saya yang paling buruk, saya tidaklah menyangkakan Dr. Mahathir
sanggup bertindak dengan cara yang sebegitu terdesak untuk mendakwa saya sebagai
pengkhianat, agen negara asing, terlibat dalam salah laku seks, rasuah dan malah sedang
mempertimbangkan bahawa saya turut terlibat dalam kes yang melibatkan pembunuhan. Fitnah
dan ujian itu berterusan tanpa hentinya, dan dengan pelbagai penghinaan melalui
akhbar-akhbar yang dikuasai kerajaan."
Demikianlah gambaran paling
ringkas pembabitan Anwar Ibrahim dalam senario socio-politik negara. Itulah petikan
daripada satu warkah yang ditulis di penjara Sungai Buluh pada Januari 11, 1999 dan
ditujukan kepada Dr. Abdul Hamid Abu Sulaiman Rektor UIA yang telah meninggalkan
universiti tersebut ekoran pemecatan Anwar.
Alangkah cepatnya masa berlalu.
Namun, impak tulisan itu masih dikenang lagi. Kes mahkamah yang membicarakan Anwar masih
berjalan lagi, walaupun bukti-bukti sahih yang akan menghimpitnya ke kancah penderitaan
masih lagi dalam keadaan dicari-cari dan kalau boleh masih lagi di-ada-adakan.
14
April Yang Membingungkan
Kalau April 14 itu masih segar dalam kenangan kita
tentunya keputusan yang diambil untuk menghukum Anwar pada tarikh itu merupakan satu
peristiwa yang membingungkan. Bagaimanakah Anwar boleh terjebak dengan hukuman itu sedangkan
bukti tuduhan masih boleh lagi dipertikaikan. Malahan, kita telah digegarkan
dengan berita bagaimana tertekannya segelintir manusia yang terbabit dengan mencari dan
mereka-reka akan beberapa bukti yang di 'gunakan' di mahkamah itu.
Saya teringat
akan satu email yang telah dipanjangkan kepada saya satu ketika dulu. Email itu ditulis oleh
seorang insan yang menulisnya dengan nama samaran 'Aku Peguam'. Kandungan
surat itu menyerlahkan betapa tertekannya beliau untuk menyediakan barang-barang bukti
mengikut rentak dan cara Anwar mesti dikenakan tuduhannya. Penulis itu telah merasa begitu
tertekan untuk meneruskan hidupnya. Dia amat merasa terhina untuk meneruskan
kerja-kerjanya itu kerana dia percaya Anwar adalah mangsa satu konspirasi yang amat jahat
sekali. Saya telah menghubungi penulis surat itu di alam siber dan menyatakan
kepadanya betapa seorang Pengendali Web sudah bersedia membuka satu kolum khas menangani
masalah yang dihadapi oleh peguam itu. Malangnya surat itu tidak dijawabnya kerana kita
yakin ada orang lain yang sudah menyambar peguam itu untuk menjalani proses doktrinasi
sekali lagi. Namun, saya masih yakin 'Akupeguam' akan menghubungi kita sekali lagi kerana gegaran
jiwanya dan keimanan dalam dadanya akan mengatasi segala bentuk doktrinasi yang
akan diasak bertubi-tubi dalam jiwanya.
Yang Dikenang dan Direnung
Esok
adalah hari memperingati kezaliman pemerintahan Mahathir. Demikian salah satu sebab utama
kenapa rakyat berkumpul. Di waktu yang sama esok adalah ulang tahun Anwar dipenjarakan
sebagai seorang banduan yang dijatuhkan hukuman. Anwar Ibrahim telah dikenakan hukuman
berdasarkan bukti yang sengaja diada-adakan. Segala bukti yang diusung ke mahkamah
sebenarnya telah ditentang oleh pihak pembela sehinggakan semua bukti itu telah
dipertikaikan. Inilah yang menarik minat seluruh dunia mengikuti prosiding mahkamah itu.
Tetapi, yang paling menarik sekali ialah apa yang telah berlaku di luar mahkamah ketika
prosiding itu masih lagi berjalan.
Ketika Anwar diadili, seorang pemimpin terulung
UMNO telah berlegar di luar negara mencanang simpati bagi dirinya seolah-olah dia juga turut
dibicarakan. Dia kerap mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di luar negara
menceritakan kenapa dia menyingkirkan Anwar daripada kabinetnya. Jawapannya adalah lebih
kurang sama di setiap sessi pertemuan yang memang didokumentari dan dilapurkan di media
massa seluruh dunia. "Saya mempunyai cukup bukti kenapa Anwar harus digugurkan
daripada kabinet saya. Dia memang sudah melakukan semua kerja-kerja aib yang dituduh oleh
mahkamah. Saya telah berjumpa dengan beberapa saksi penting yang meyakinkan saya memang
Anwar membuat semua kerja-kerja jijik itu"
Inilah puncanya Anwar dihukum dan
terhukum. Inilah kata-kata 'bukti sahih' yang mendorong para hakim menghukum Anwar.
Tetapi, apabila si Raja Kelentong ini disapina oleh mahkamah untuk membenarkan peguambela
Anwar menyoalnya akan segala bukti itu apakah yang dikatakannya kini? Dia enggan
menghadirkan dirinya kerana dia tidak terbabit dengan bukti-bukti yang digunakan oleh
mahkamah untuk menghukum Anwar, dulu.
Demikianlah dayusnya seorang pemimpin politik
Melayu yang terunggul di negara ini. Inilah kedayusan yang ditunjukkan oleh seorang
Adijagat Melayu seperti yang dicanangkan oleh pengampu terulungnya satu ketika dulu,
sebelum beliau sendiri tersungkur menyembah bumi. Demikianlah petikan kata-kata raja
pembohong Melayu yang satu ketika dulu bersuara lantang bagaimana beliau sudah bersedia
untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dan bersara daripada bidang politik. Tetapi,
disebabkan keadaan ekonomi negara meleset dia terpaksa meneruskan tugasnya untuk
memulihkan keadaan. Walaupun keadaan ekonomi pada Januari 1999 sudah menampakkan
unsur-unsur pemulihan, dia masih tidak berupaya melepaskan jawatannya kerana tingkah laku
Anwar yang terpaksa disingkirkan.
AKAN HURU-HARAKAH NEGARA INI?
Ketika
menyiapkan artikel ini beberapa saluran TV menunjukkan rakaman perbualan orang TV dengan
para penghuni ibukota. Soalannya adalah sama. Semuanya meminta pendapat orang ramai akan
GELLITA 14. Semuanya disoal pendapat mengenai 'Huru-hara' Malahan di TV 1 Rencana
Malaysia Gemilang telah menunjukkan forum yang dianggotai Rais yatim dan Shahidan Kassim.
Alangkah malangnya negara ini apabila rakyat disogokkan dengan program seperti itu?
Siapa
Perancang Huru-hara ?
Huru hara adalah perilaku manusia yang tidak dirancang.
Yang dirancang bukannya huru-hara. Ia dinamakan rusuhan. Kalau lebih berat lagi keadaannya
ia disebut REVOLUSI. Saya pernah menulis lima siri di bawah tajuk Akan Bermulakah Revolusi
Rakyat pada 31.12.1999. Saya menulis itu di atas kesedaran betapa negara ini akan hancur
lebur disebabkan gelagat seorang diktator yang gilakan kuasa dan segelintir
pemimpin UMNO yang rakus, haloba dan tamakkan kuasa, di satu pihak. Sedangkan di satu
pihak pula terdapat satu kumpulan majoriti pemimpin Melayu dalam UMNO yang menjadi
kebingungan. Saya tidak mahu menulis panjang kali ini di atas tajuk huru hara kerana saya
sudah tulis lama akan hal ini di alaf yang lalu. Itu sebagai ingatan sahaja.
Cuma
kini saya mahu beri ingatan lagi. Kalau huru-hara timbul yang patut ditangkap ialah
Mahathir bin Mohammad. Beliaulah pencetus huru-hara. Dialah yang mula menyebut molotov
bom, parang panjang, kayu belantan dan sebagainya. Sejarah demonstrasi rakyat tidak pernah
diperalatkan dengan bom molotov, parang panjang dan belantan. Itu adalah hasutan Mahathir
bin Mohammad yang sepatutnya di tahan di bawah ISA atas dasar menghasut. Dia bukan lagi
dikenal sebagai Raja Kelentong malahan dikenal sebagai Raja Penghasut.
Sekarang
kita disogokkan dengan ketakutan kerana demonstrasi rakyat tidak diberikan lesen. Siapa
mahu beri lesen sedangkan program bersukan oleh parti Keadilan menyambut ulang tahun pun
disuruh berpindah randah? Sekarang saya minta para pemimpin pemuda UMNO bersama bijak pandai
UMNO menjawab soalan ini:
a) Ketika penganut Hindu merayakan Thaipusam
dan mengusung Dewa Muruga daripada Jalan Bandar ke Batu Caves pergi dan balik, adakah
mereka diberikan lesen?
B) Ketika penduduk Kuala Lumpur merayakan Tarian Naga dan
Singa daripada satu pintu kedai ke pintu kedai adakah mereka memerlukan lesen?
C)
Kalau ada upacara dung-dung-cheng mengusung si mati, adakah lesen dikeluarkan?
D)
Ketika anak-anak sekolah disuruh beratur di panas matahari mengibarkan bendera di tepi
jalan menunggu ketibaan tetamu negara adakah mereka diberikan lesen?
E) Ketika
jemaah Islam berkumpul di Masjid Shah Alam bersembahyang hajat satu ketika dulu, adakah mereka
diberikan lesen Adakah perhimpunan lebih 20,000 manusia itu mencetuskan huru-hara?
F)
Ketika jemaah menteri mengadakan majlis hari terbuka di hari lebaran adakah mereka
diberikan lesen?
G) Perhimpunan dan mesyuarat tahunan parti komponen BN yang
diadakan setiap tahun di ibukota, adakah diperlukan lesen?
AMBILLAH IKTIBAR SEBELUM
TERLAMBAT
Sepatutnya Mahathir Mohammad membatalkan perjalanannya ke Cuba kalau dia
pandang GELITA 14 satu fenomena yang serius. Dia harus memandang serius akan apa yang
berlaku kepada General Musharraf di Pakistan. Ketika Musharraf pulang daripada Colombo
pesawat udara kommersial yang ditumpangi General itu telah tidak dibenarkan mendarat di
Karachi sehinggakan dia hampir mati kerana kekurangan minyak. Allah menyebelahinya.
Bayangkan
kalau perkara yang sama berlaku kepada Mahathir, siapakah yang boleh dipersalahkan.
Bukankah Mahathir terbang dengan Global Express yang dianggap sebagai harta pusakanya?
B)
Mahathir berlagak seolah-olah suaranya adalah suara keramat. Tidak lagi. Rakyat sudah
celek seceliknya. Berkumpul di ibukota daripada pelusuk negara tanpa permit bukannya
satu 'big deal'. Inilah manifestasi perasaan rakyat. Inilah gambaran luahan hati rakyat
yang rimas, jelak dan jijik kepada pemerintahan yang zalim dan tidak berhati perut.
C)
Semua orang tahu, Mahathir memperkudakan sistem perundangan dan dia mengharapkan Ariffin
Jaka menghenyak Anwar sekali lagi. Dia lupa Allah sentiasa mengawasi keadaan. Lambat laun
dia akan berada di kandang orang salah dan Anwar akan menjadi saksinya. Kalau
undang-undang negara tidak melakukannya, rakyat marhaen secara kolektif akan
melakukannya.
D) Dia fikir pihak polis adalah anjing suruhannya. Dia belum tahu
lagi apa akan jadi. Lupakah dia apa jadi kepada Rajiv Ghandi ketika berjalan menerima
tabik hormat perbarisan askar Sri Lanka satu ketika dulu. Sejak semalam lori kecil
FRU sudah mula bergerak dengan beberapa anggota di dalamnya untuk tayang muka. Ini
dianggap sebagai proses mengertak. Siapakah yang digertak? Apakah semua anggota FRU itu
tidak mempunyai saudara yang akan terlibat dalam demonstrasi rakyat nanti?
E)
Siapakah sebenarnya Pemerintah 'Teragung' PDRM kalau bukan raja-raja. Apakah Mahathir lupa
perkara ini. Apakah Mahathir mahu pembabitan askar Melayu dan semua anggota tentera
menyebelahi rakyat? Apakah Mahathir mahukan semua rakyat marhaen terutama sekali mahasiswa
universiti dan pekerja kilang bersatu semata-mata untuk memaksanya undur?
Kesimpulan
Awal
GELITA 14 adalah manifestasi rakyat yang cintakan keharmonian. Gerakan
liberasi rakyat kali ini adalah untuk memperingatkan Mahathir bahawa masanya sudah tiba.
Tempoh luput kepimpinannya sudah lama berlalu. Eloklah dia bersiap sedia menghadapi rakyat
dengan segala rendah diri. Rakyat adalah tuannya. Rakyat akan menentukan tempoh luputnya.
Mahathir harus sedar akan hakikat ini. Rakyat yang akan berkumpul nanti bukannya wakil
Barisan Alternatif ataupun Barisan Nasional. Setiap insan yang akan berkumpul nanti adalah
rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.
Huru-hara tidak timbul kerana itu bukan
agenda rakyat. Agenda rakyat adalah memperingati kezaliman pemerintahan Mahathir. Inilah
agenda yang akan dikongsi bersama oleh sebilangan besar ahli UMNO di seluruh negara.
Inilah perhimpunan yang akan dianggotai oleh para askar, polis, bomba, immigresen, doktor,
jururawat, para pesara dan sesiapa sahaja dengan pakaian yang berwarna warni tanpa
sebarang lencana kepartian mereka. Mereka akan berdiri megah menunjukkan semangat juang
kepada dunia dan berkata: 'Hai Mahathir eloklah buat keputusan secepat mungkin kerana
tempoh luput kamu sudah lama berakhir....!
Kepada pemimin UMNO yang lain adalah
lebih baik kalau anda menasihati presiden anda itu agar bertaubat sebelum terlambat.
Ingat-mengingati adalah ajaran Allah kepada kita sesama seagama. Lakukanlah semasa masih
ada masanya. Laksanakan tugas ini kalau anda sayangkan kuasa yang masih ada itu. GELITA 14
adalah Gerak Liberalisasi Tanah Air yang digerakkan oleh rakyat yang cintakan negaranya.
Kami akan teruskan perjuangan kami dan anda lakukanlah peranan anda untuk menentukan
manifestasi rakyat ini tidak dihuru-harakan oleh seorang diktator tua yang sudah
kehilangan pegangan hidupnya.
Marhaintua@Hotmail.com
...bersambung 13 April, 2000
|